LUNDU, 12 Nov: Inisiatif kit pendidikan ‘Cakna Kraf’ di Lundu bertujuan untuk memupuk minat serta kecintaan anak muda terhadap seni kraf tempatan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Nancy Shukri berkata program berkenaan bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang mempunyai pengetahuan berkaitan teknik, bahan dan proses asas dalam penghasilan produk kraf tempatan.
Menurut beliau sebanyak 100 kit pendidikan Cakna Kraf diserahkan untuk kegunaan 500 orang pelajar dari lima buah sekolah di sini.
“Objektif utama Cakna Kraf adalah untuk memelihara seni kraf tempatan sebagai khazanah yang kekal relevan ke arah kelestarian industri kraf negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Santubong itu berharap pemberian kit tersebut akan melahirkan minat dalam kalangan para pelajar di Lundu untuk mempelajari seni kraf selepas ini.
“Saya juga berharap agar para pelajar akan mencintai produk kraf Malaysia dan seterusnya menjadi pelapis industri kraf pada masa akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, Nancy hadir menemui para pelajar yang terlibat di Program Pengembangan Ilmu ‘Cakna Kraf’ 2022 di Dewan Masyarakat Lundu, di sini, hari ini.
Nancy memberitahu program secara fizikal tersebut berjaya menghimpunkan seramai 200 orang pelajar dari sekitar Lundu.
“Aktiviti yang diadakan adalah mewarna batik canting dan anyman bakul rotan,” jelasnya.
Sementara, Nancy meneruskan aktiviti kempen hari ke-8 di sekitar Lundu untuk beramah mesra dengan penduduk setempat.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.