LINGGA, 12 Nov: Tiada keperluan mendesak mengisytihar cuti khas pada 18 November ini kerana pelbagai perkara harus dilihat semula sebelum mewartakan cuti tersebut, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Apa yang berlaku, ekonomi kita akan terjejas, apabila kita mewartakan cuti, majikan terpaksa membayar gaji dua kali ganda kepada pekerja.
“Ini akan menaikkan kos dalam keadaan ekonomi kita tidak menentu, saya fikir tidak wajar, kita terpaksa timbang apa yang berlaku menjejaskan ekonomi kita, produktiviti juga akan menurun, perkara ini akan kita ambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang di Dataran Pekan Lingga di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, Sarawak hanya akan mengisytiharkan cuti sekiranya keadaan adalah terdesak, hari pengundian adalah pada 19 November dan bukannya 18 November.
“Saya tak janji tapi akan timbangkannya secara rasional kerana saya tahu apa kesannya,” ujarnya. – TVS