KUCHING, 12 Nov: Projek Lampu Isyarat Kuching-Samarahan Expressway yang dijangka siap dibina hujung tahun 2023 mampu menyelesaikan masalah kesesakan di Bahagian Samarahan, yang secara langsung berpotensi memberi impak kepada pembangunannya.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Dato Peter Minos berkata, sekiranya masalah trafik itu tidak diperbaiki, ia akan menjejaskan pembangunan Samarahan kerana ramai pemilik rumah di Samarahan memilih untuk tinggal di Kuching kerana tidak mahu menghadapi masalah trafik .
“Siapnya projek pembinaan lampu isyarat tersebut, ia mampu menyelesaikan kira-kira 60 peratus hingga 70 peratus masalah kesesakan di Bahagian Samarahan,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-6 MPKS malam tadi.
Tetamu kehormat pada majlis itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Katanya, Samarahan mampu menjadi kawasan yang mempunyai tiga hab dengan adanya beberapa institut pembelajaran seperti UNIMAS, UITM dan Kolej Perguruan yang menjadikannya hab pendidikan, Samarahan juga bakal memiliki beberapa pusat kesihatan yang mampu menjadikan Samarahan sebagai metropolis kesihatan.
“Setakat ini kita bakal memiliki hospital UNIMAS yang dijangka siap dibina tahun hadapan, Abang Johari juga telah mengumumkan projek pembinaan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit dan juga Pusat Rawatab Kanser,” ujar Peter.
Tambahnya, kawasan luar bandar di Samarahan juga merupakan sebuah kawasan yang sesuai bagi membangunkan hab pertanian.
Dalam pada itu beliau turut meminta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mempertimbangkan projek pembinaan pasar awam baharu.
Katanya, pusat awam yang sedia ada adalah kecil menyebabkan beberapa isu seperti kesesakan ruang parkir berlaku.
“Pasar sedia ada adalah terlalu kecil dan sesak, jika Samarahan mempunyai pasar baharu, bukan sahaja ia mampu menyelesaikan isu tersebut tetapi juga berpotensi untuk menjadi destinasi tarikan pengunjung di Samarahan,” katanya. – TVS