KUCHING, 11 Nov: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan negeri Sarawak pada petang ini.
Laporan laman sesawang MetMalaysia menyatakan amaran tersebut dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang yang diramalkan akan melanda beberapa daerah di negeri ini sehingga pukul 7 petang nanti.
Dilaporkan cuaca buruk berterusan berlaku di Kuching, Sarikei, Mukah (Tanjung Manis), Kapit (Song dan Kapit) dan Limbang.
Menurut laporan berkenaan lagi keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.
MetMalaysia turut menegaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – TVS