BINTULU, 9 Nov : Kerja-kerja pembinaan sistem perparitan di Kampung Assyakirin Fasa 2, di sini, yang tergendala akibat beberapa masalah dalaman perlu ditangani secepat mungkin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang berkata, satu perjumpaan membabitkan agensi atau jabatan berkaitan harus diadakan dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian.
Ini kerana, beliau berkata, langkah sewajarnya perlu diambil sebelum musim tengkujuh pada penghujung bulan ini atau awal Disember depan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Saya akan meminta penduduk mempengerusikan mesyuarat untuk semua agensi yang berkaitan termasuklah sambungan haram dan Sarawak Electricity Supply Corporation (SESCO) datang untuk menyelesaikan perkara ini. Saya tidak mahu selesaikan masalah apabila sudah berlakunya banjir.
“Jadi, kita perlu bersiap sedia kerana musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi pada bulan Disember atau akhir bulan November. Jadi, saya tidak mahu ada alasan ‘Projek Sakit’ tetapi kita perlu bersiap sedia,” katanya kepada pihak media semasa meninjau tapak pembinaan sistem perparitan itu di Kampung Assyakirin Fasa 2 di Bintulu semalam.
Katanya lagi, beliau berasa terkilan kerana mengetahui ‘Projek Sakit’ tersebut setelah dilaporkan tergendala selama setahun.
“Jadi, kita melihat banyak isu dan sebab itulah tidak hairan rakyat sering menyalahkan dan mengeluh. Kami di Pusat Khidmat Tanjong Batu tidak pernah dimaklumkan mengenai masalah sebesar ini,” katanya lagi. – TVS