BINTANGOR, 8 Nov : Kerajaan Persekutuan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu lebih berintegriti dan mempunyai hala tuju perjuangan yang jelas dalam membela nasib rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdullah Saidol berkata, aspek itu amat penting supaya pentadbiran negara dapat diurus dengan lebih mampan dan efisyen.
“Bukan lagi bermain permainan polimik -polimik politik yang hanya bercakap tentang hak, tentang isu pangkat dan jawatan dan juga kepentingan parti dan sebagainya,” katanya ketika ditemui TVS di Pusat Khidmat Skuad Sayang di sini semalam.
Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) itu lagi keperluan kebajikan dan kesejahteraan rakyat harus diutamakan ketika ini.
“Kecederaan ke atas ekonomi dan kebajikan rakyat disebabkan oleh pandemik selama dua tahun adalah sesuatu yang tidak dapat kita abaikan,” tegasnya.
Abdullah berharap barisan kabinet itu nanti terdiri dalam kalangan mereka yang mampu bekerja, memulihkan semula ekonomi selain terus mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan generasi muda yang bakal mengundi pada 19 November ini agar melihat secara holistik khususnya terhadap kepimpinan yang berwibawa dan berupaya menerajui negara ke arah yang lebih baik.
“Kita tidak mahu warga muda terlalu beremosi dalam pemilihan mereka, mereka haruslah menggunakan kebijaksanaan yang terbaik untuk memilih calon yang mereka yakin akan membawa suara mereka, bersuara lantang dalam soal masa depan mereka, berusaha menyediakan peluang pekerjaan dan penyediaan biasiswa pendidikan,” ujarnya.
Justeru kata Abdullah PRU-15 adalah wadah terbaik untuk seluruh rakyat Sarawak dan negara membuat pilihan terbaik.
Pada masa yang sama, beliau juga mengharapkan perjalanan pilihan raya kali ini berjalan dengan lebih berhemah dan beretika selain mempraktikkan sistem demokrasi yang sihat bagi membolehkan keputusan PRU-15 dihormati sekali gus menghasilkan pemimpin yang lebih baik. – TVS