SIBU, 7 Nov: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa komited untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Kemudahan yang lebih baik untuk penduduk kampung dan penghuni rumah panjang terus dilaksanakan demi keselesaan rakyat.
Ini merupakan Teras kelapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dilancarkan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Ahad malam.
Teras kelapan – Mentransformasikan kawasan luar bandar, kampung dan rumah panjang – memang sudah lama dinikmati penduduk di luar bandar.
Bagi merealisasikan Teras itu, GPS menyatakan Aku Janji dan Komitmen tentang pembinaan jalan luar bandar untuk mengakses penempatan di luar bandar serta menyediakan peruntukan secukupnya untuk projek pembangunan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Seorang penduduk Rh Sebastian Ngalang, Sabong Ngabong berkata mereka tidak menafikan pembangunan yang telah dilaksana dan dalam perancangan kerajaan di kawasan mereka.
Menurutnya, projek jambatan di rumah mereka yang siap pada 8 Julai lepas banyak memberi manfaat kepada penduduk untuk memasarkan produk hasil pertanian.
“Banyak pembangunan dibawa kerajaan seperti bekalan elektrik, jambatan, jalan raya yang sudah banyak kali diturap, paip air sudah sampai di rumah,” katanya ketika ditemui TVS di Jalan Oya di sini, hari ini.
Sementara itu, penjual midin Lunsa Mero berkata dengan adanya jambatan, ia memudahkannya untuk mencari midin kerana tidak perlu lagi menggunakan perahu menyeberangi sungai.
“Bagi saya, jambatan ini sangat berguna kerana memang dari dahulu lagi mahukan jambatan ini. Saya ini dari dulu lagi cari midin, berpuluh tahun dalam pekerjaan ini.
Bagi Rosty Sabin, kemudahan tersebut telah mengubah kehidupan mereka di rumah panjang selain menyelesaikan isu laluan jalan ke kawasan kebun dan ke rumah panjang yang berdekatan.
“Dulu kami susah, kalau tidak ada perahu memang susah untuk ke seberang. Sebelum ini jambatan lama yang kami buat roboh tetapi bila kerajaan bina jambatan ia sangat membantu,” katanya. – TVS