KUCHING, 6 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini menjadi tunjang kemakmuran Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kemenangan besar mampu diraih berpandukan kepada manifesto berkenaan sebagai panduan untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak.
“Manifesto ini adalah merupakan aku janji dan komitmen GPS untuk memastikan Sarawak terus stabil, maju dan makmur dan ini merupakan perjuangan kita,” katanya menerusi ucapan alu-aluan pada majlis Pelancaran Manifesto GPS di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto GPS berkata, dengan kemenangan besar pelbagai perkara dapat dicapai bagi membela hak rakyat Sarawak termasuk mendapatkan peruntukan lebih daripada kerajaan persekutuan.
Peruntukan tersebut katanya akan dimanfaatkan untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas serta mewujudkan kehidupan yang kondusif untuk pembangunan pelbagai sektor.
Menurutnya, kemudahan yang dikehendaki kerajaan Sarawak untuk pembangunan tidak dapat diraih ketika di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini.
Meskipun ujar beliau terdapat Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari Sarawak yang dilantik dalam kabinet kerajaan Persekutuan namun mereka tidak bijak bersuara dan mendesak demi kepentingan rakyat Sarawak.
“Apakah perjuangan mereka semata-mata untuk kepentingan diri dan tidak penting untuk Sarawak dan rakyat. Rakyat Sarawak harus sedar apa yang berlaku dan menolak mereka dalam PRU-15,” tegasnya.
Terdahulu, majlis menyaksikan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan dan menyerahkan manifesto GPS kepada kepimpinan tertinggi parti tersebut sebagai simbolik pelancaran. -TVS