KUCHING, 6 Nov: Program ‘Kampung Heritage Trail’ anjuran Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) diadakan sebagai usaha untuk memberi pendedahan mengenai sejarah dan tradisi lama terutamanya kepada golongan muda.
Penyelaras Program, Dr Sharifah Suzana berkata, perlaksanaan program sedemikian adalah bagi memastikan adat tradisional masyarakat Melayu di Sarawak tidak hilang ditelan zaman.
“Dengan penganjuran acara seperti ini secara berkala, sekurang-kurangnya ia dapat memastikan anak-anak muda kita untuk sama-sama mengingat kembali dan mempelajari sejarah.
“Ini adalah seperti program pendidikan untuk generasi baharu kita mempelajari tradisi lama agar ia sentiasa dapat dipelihara,” katanya ketika ditemui TVS pada program ‘Kampung Heritage Trail’ di Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai, di sini, semalam.
Selain itu, Dr Sharifah menambah, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk memastikan usaha mengekalkan tradisi dapat diteruskan.
“Penubuhan OKSHe merupakan satu platform untuk kerajaan menyalurkan bantuan dan dana supaya program-program yang menyumbang kepada usaha untuk kita mengekalkan tradisi lama dapat dilaksanakan,” ujarnya.