Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak perlu suara besar di Parlimen

BySuara Sarawak

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Pada PRU-14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen, SUPP (tujuh), PRS (enam) dan PDP (empat). Parti induk Sarawak itu meletakkan sasaran untuk memenangi semua 31 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU-15. Ini merupakan PRU pertama bagi GPS selepas menang besar dalam Pilihan Raya Negeri ke-12, Disember tahun lalu. Ikuti temu bual eksklusif wartawan Suara Sarawak bersama-sama Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai persediaan, sasaran dan harapannya terhadap GPS.

Pada 19 November ini, sekali lagi mandat diserahkan kepada kepada rakyat Malaysia untuk menentukan kerajaan baharu. Bagaimana pula persiapan GPS? 

ABANG JOHARI: GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP). Kita mempunyai platform untuk mengambil bahagian dalam PRU akan datang. Ini pertama kali GPS bertanding sebagai parti tempatan dalam PRU. Dulu, kita merupakan komponen Barisan Nasional (BN) dan bertanding atas lambang BN. Kali ini, kita bertanding menggunakan lambang GPS. Kita baru saja selesai Pilihan Raya Negeri (PRN), belum sampai satu tahun lagi. Sebab itu, saya yakin jentera kita masih utuh dan mempunyai pengalaman untuk menghadapi PRU yang akan datang. Dengan kata lain, kita sebenarnya sudah bersedia menghadapi PRU pada bila-bila masa sahaja.

Apakah jangkaan Datuk Patinggi bagi prestasi GPS?  

Kami bertanding di 31 kerusi. Apabila kita bertanding, sudah pasti kita mahu tawan semua kerusi. GPS mahu melakarkan prestasi yang tinggi. Kalau kita lihat kemenangan PRN – 76 daripada 82 kerusi, tidak mustahil kita meraih kemenangan lebih besar dalam PRU.  Ini berlandaskan sentimen perjuangan GPS — Sarawak Diutamakan. Oleh itu, kita berkehendakkan suara besar di Parlimen bagi menzahirkan apa-apa yang hendak kita fokus dalam pembangunan Sarawak supaya selari dengan negeri lain di Malaysia. Ia sama seperti harapan kita untuk kekal bersama Persekutuan Melayu dan Sabah yang membentuk Malaysia. Sebab itu, fokus ke arah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan perkara mustahak.  

Untuk memungkinkan sasaran itu tercapai, setakat mana keyakinan Datuk Patinggi terhadap GPS? 

Dalam proses demokrasi, kita berkehendakkan suara terbanyak dan dalam konteks ini – Parlimen mempunyai 222 kerusi. Kita ada 31 kerusi dan Sabah ada 25 kerusi. Bermakna dalam konteks Sarawak, kita ada suara besar daripada 31 kerusi ini supaya apa-apa yang dikehendaki di peringkat Persekutuan, dapat kita capai. Sebab itu, pengundi hendaklah melihat dari sudut suara dan jumlah kerusi yang ada, supaya kita dapat meneruskan usaha mengembalikan hak melalui MA63 dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Persekutuan Malaysia terdiri daripada tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sarawak dan Sabah. Jadi, inilah tekanan yang harus diambil kira oleh pengundi kita. Apa yang kita kehendaki adalah keadilan membentuk Kerajaan Persekutuan yang mengambil kira hak yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dengan menjadi sebuah negara Malaysia yang kuat. Misalnya, kalau Sarawak mempunyai ekonomi dan keadaan struktur yang begitu baik, ia akan menguatkan seluruh negara. Begitu juga dengan Sabah. Apa yang kita perlukan malah sebuah negara kuat yang merangkumi komponen yang ada dalam Malaysia. Sebab itu, pengundi Sarawak harus faham dan perlu mengambil kira pembangunan dalam jangka panjang.

Mengapa penting untuk pengundi Sarawak menyokong GPS? 

Kita pernah diperintah Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. Kalau kita kaji daripada manifesto PH ketika itu — mereka banyak memberikan janji manis, realitinya pahit. Satunya dari sudut agihan pendapatan, yang dikatakan lebih kurang pendapatan negara dengan nisbah 40 peratus.  Kedua, mereka berjanji supaya hasil minyak 20 peratus akan diagih kepada Sarawak. Ketiga, PH janjikan supaya autonomi diberi. Seterusnya janji membangunkan Sarawak di bawah pemerintahan PH. Itu cuma apa yang ada di dalam manifesto mereka. Apa yang berlaku? Sebaliknya, banyak projek di Sarawak dibatalkan termasuk jambatan yang sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan seperti Jambatan Batang Lupar, Jambatan Rambungan… semuanya dibatalkan.  Keempat, janji untuk mengagihkan hasil minyak tidak dilaksanakan. Kelima, pembangunan sekolah juga dibatalkan malah mereka meminta Sarawak untuk membayar dan melunaskan hutang. Sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan membantu dan memberi pinjaman kepada negeri. Setiap negeri pula akan membayar mengikut jadual yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri masing-masing. Jika kita imbau, Sarawak sudah membayar tepat pada masanya sejak pemerintahan dahulu sehingga era saya. Tapi PH kata, bayar hutang dulu! Oleh kerana pendidikan dan kemudahan infrastruktur sangat penting, saya beritahu PH, baiklah kami berikan RM1 bilion. Sudah diberi pun, tetapi pelaksanaan tetap lambat dan ini yang berlaku. Lanskap politik tidak menentu di bawah PH sehingga Sarawak mempunyai pendekatan dan model sendiri. Rakyat boleh lihat pembangunan yang kita laksanakan. Jambatan, bekalan air dan bekalan elektrik kita teruskan menggunakan dana sendiri.

Alhamdulillah saya nampak dalam masa lima tahun kebelakangan ini, kita mempunyai kedudukan kewangan agak kukuh walaupun banyak projek dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah PH. Namun ini tidak bermakna kita akan berhenti untuk meminta bantuan. Sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri, ia tanggungjawab mereka. Tetapi saya melihat ia lebih kepada satu pengajaran. Rakyat harus tahu, jika kita mempunyai Kerajaan Negeri yang kuat seperti hari ini, setidak-tidaknya Putrajaya akan mendengar rintihan kita. Justeru, mandat yang kuat penting.

Pada PRU-14, isu yang dibangkitkan di Semenanjung Malaysia juga banyak mempengaruhi pengundi di Sarawak. Bagaimana kali ini? 

Tidak, kita pun tahu ini penglibatan pertama GPS terlibat dalam PRU. Tambahan pula dalam keadaan politik negara yang tidak menentu dengan parti politik mempunyai banyak gabungan sendiri. Setakat ini, saya nampak begitu banyak persaingan hebat di sana. Alhamdulillah di Sarawak memang kita ada pembangkang tapi GPS jelas dan ini juga pertama kali watikah dikeluar oleh Sarawak sendiri, ia sesuatu yang berlainan. Jadi kita doakan yang terbaik untuk Sarawak. 

Setiap kali pilihan raya ada manifesto. Jadi, bolehkah Datuk Patinggi kongsikan apakah teras utama manifesto GPS kali ini? 

GPS ada manifesto sendiri. Kalau dahulu kita mempunyai manifesto Barisan Nasional (BN) dan kita tambah sedikit berdasarkan perspektif Sarawak. Manifesto GPS kali ini menekankan teras seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu. Pertama, Utamakan Sarawak, Sarawak diutamakan. Kedua untuk kita meneruskan apa-apa yang telah termaktub dalam MA63 dan IGC. Ketiga, kita uruskan negeri berdasarkan ekonomi baharu berteraskan kekuatan yang ada di dalam Sarawak.  Seterusnya, mesti ada kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak. Sebab itu, kita memperoleh kejayaan besar menerusi menteri kita, Dato Sri Dr Wan Junaidi apabila kita meminda Perlembagaan Malaysia dengan memasukkan balik perjanjian dahulu – seperti Malaysia merupakan gabungan antara tiga wilayah di bawah Perkara 1 (2) Perlembangaan Persekutuan.  Yang penting Perkara 160 di bawah interpretasi perjanjian yang disebutkan adalah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan MA63 termasuk laporan IGC. Ini bermakna, ia menjadi asas Perlembagaan Malaysia dan harus dipenuhi apa-apa yang diikat dalam MA63. Jadi kita mempunyai teras berdasarkan kepada MA63.

Menyentuh mengenai calon Ahli Parlimen, mungkin Datuk Patinggi ada nasihat untuk mereka? 

Kepada calon, teruskanlah perkhidmatan kepada pengundi. Paling penting kesetiaan kita kepada perjuangan Sarawak. Hendaklah mengambil kira kehendak pengundi dan dimasukkan sebagai asas untuk melaksanakan dasar yang memberikan manfaat kepada semua golongan yang ada di Sarawak.

PRU kali ini lebih menarik dengan adanya Undi 18 sekali gus mewarnai sistem demokrasi negara. Justeru, apakah strategi GPS dalam isu ini? 

Kita tidak menafikan umur 18 penting tetapi yang berlaku dalam pendaftaran ramai yang berusia antara 21 hingga 45 tahun. Kumpulan ini dulu tidak mendaftar sebagai pengundi. Jadi terdapat lonjakan jumlah pengundi pendaftaran automatik. Kalau kita tengok pada peratusan, umur 18 hingga 21 tahun…ada tapi tidaklah begitu ramai kalau dibandingkan dengan jumlah pengundi baharu. Sebab itu, kita nampak umur 45 tahun ke bawah memang menjadi pengundi utama. Saya rasakan individu yang berusia 18 tahun ke atas ini, turut memainkan peranan. Dari sudut perkiraan dalam membuat keputusan, mereka berusia 18 tahun sehingga 25 tahun – mengikut sentimen tapi yang lainnya akan lebih rasional.

Ada satu kajian mendapati pengundi muda didaftarkan secara automatik sekitar 30 peratus tidak sedar yang mereka boleh mengundi. Jadi apakah strategi memungkinkan golongan ini dari segi peratusannya turun mengundi tinggi? Apakah ia memberi kesan pada peratusan mengundi?

Saya katakan tadi, 30 peratus ini melonjakkan angka begitu tinggi dan disebut sebagai tiada minat. Jadi kita hendaklah melihat dasar yang akan memberi kesan kepada mereka. Untuk Sarawak, pada bulan depan sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), saya akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak. Dana ini memerlukan tempoh pengumpulan dalam masa 20 tahun. Ia akan meningkat dan memberi pulangan kepada Sarawak. Dari sudut pulangan, ini akan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi masa depan seterusnya dapat membantu orang muda. Ini kerana dalam peruntukan, ia termasuk dana yang terkumpul. Ini akan membolehkan kita memberi bantuan dari sudut pendidikan ke peringkat universiti. Siapa yang dapat menikmatinya? Sudah pasti, golongan muda. Keduanya, apabila kita pergi ke ekonomi baharu berteraskan teknologi, kalau kita dapat menghasilkan pekerjaan yang tinggi, maka upahnya akan tinggi. Banyak antara kita hantar anak ke institusi pengajian tinggi, sudah tentu mereka boleh bekerja dalam ekonomi yang memberi upah tinggi kepada mereka. Kesannya akan dinikmati golongan muda. Kalau sudah umur 55, 60 tahun itu sudah pencen tapi yang berumur 30 hingga 45 tahun, ini masanya. Sekarang kita ada buat kajian. Disebabkan ekonomi kita secara tradisi, maka banyak anak kita bekerja di luar, sebab tidak ada pekerjaan yang seimbang dengan latihan. Sebab itu, Kerajaan Sarawak mewujudkan ekonomi yang agak tinggi menggunakan kepakaran dan kemahiran tertentu supaya anak perantau boleh bekerja balik di Sarawak. Satu yang saya lihat adalah bidang petrokimia. Rakyat kita sudah balik untuk bekerja di loji metanol di negeri ini. Keduanya, kakitangan Sarawak Metro banyak yang bekerja di Semenanjung Malaysia juga sudah balik untuk bekerja di sini. Justeru, jika Sarawak mempunyai ekonomi begini termasuk bidang pertanian dan sektor lain, sudah tentu anak-anak kita akan balik menyumbang bakti. Bahkan mungkin kerajaan akan mewujudkan kerjaya yang mempunyai upah lebih besar dengan nilai pelaburan yang tinggi umpamanya hidrogen.  Hidrogen ini memerlukan kepakaran biokimia yang tinggi dan gajinya tinggi, itu juga sasaran Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan. Kalau dasar ini dilaksanakan, insya-Allah orang muda akan mendapat untung.

Datuk Patinggi memperkenalkan sebanyak 120 inisiatif sehingga hari ini. Bagaimanakah ini dapat mengubah masa depan orang muda? 

Saya mempunyai harapan yang besar bahawa masa depan kita sangat cerah disebabkan adanya kepelbagaian sumber. Semua negara di dunia tercari-cari sumber tenaga hijau. Saya baru balik dari Singapura dan bercakap mengenai tenaga hijau di hadapan seramai 10,000 hadirin yang mempunyai pelbagai kepakaran. Selepas saya memberi ucapan, mereka bertanya kepada saya dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah dan delegasi kita. Mereka mengakui sangat mencemburui Sarawak kerana mempunyai pendekatan ke hadapan dalam tenaga hijau.  Ini maklum balas yang diterima. Bermakna hala tuju kita betul dan Tuhan sayangkan Sarawak. Kita mempunyai sumber daripada air, hidrogen, solar terapung hingga ke mikro alga — ini semua merupakan tenaga hijau dan mampan. Jadi setiap pelaburan kita akan bergantung pada tenaga yang boleh diperbaharui.  Ia merupakan semua sumber tenaga mampan dan hijau yang boleh diperbaharui. Malah ekonomi sekarang khasnya institusi perbankan akan memberi bantuan berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Jadi Sarawak akan mempunyai ekosistem, bermakna pelaburan akan datang kerana tenaga diperbaharui ini tidak akan berhenti, ia sentiasa ada. Ini sekali gus akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak dan memupuk peluang pekerjaan, yang menguntungkan orang muda. Sekarang kita ada gas yang boleh digunakan sebagai aktiviti hiliran hingga huluan dan satu daripada hasilnya apabila mengeluarkan metanol seperti sekarang.  Selain itu, sekarang Shell mempunyai platform mengeluarkan hibrid antara solar dengan kincir angin. Ia sudah menampakkan kejayaan, bermakna Sarawak juga boleh menggunakan kincir angin di luar pesisir negeri. Bermakna seluruh rantaian tenaga terdapat di Sarawak, ia anugerah Tuhan kepada kita.

Datuk Patinggi bergerak terlalu pantas. Tetapi bagaimanakah rakyat dapat memahami inisiatif yang diperkenalkan? 

Ia akan mengambil masa untuk mewujudkan kesedaran, mengambil kira salah satu contoh ekonomi digital. Apabila saya memperkenalkan ekonomi digital pada 2017, banyak pihak yang skeptikal — apa ini? Tetapi apabila dunia berhadapan dengan pandemik Covid-19, masyarakat mula sedar betapa pentingnya perkhidmatan digital seperti menggunakan S Pay Sarawak, MySejahtera dan banyak lagi. Bermakna Sarawak sudah ke hadapan. Bahkan pihak Semenanjung Malaysia juga mengakui Sarawak mempunyai sistem yang baik dalam menjejaki pesakit Covid-19. Jadi waktu itu, rakyat sedar betapa pentingnya ekonomi digital. Kedua adalah hidrogen. Semasa kita mula memperkenalkan bas hidrogen, ada yang bertanya kepada saya. YAB, anda bukan lahir semasa zaman penjajahan Jepun tetapi tahu apa-apa berlaku dengan bom hidrogen. Bermakna, mereka ada pengalaman dan minda yang berlainan kerana tidak tahu bahawa hidrogen tidak semestinya bom kerana minyak benzin lebih bahaya daripada hidrogen, ia membakar. Namun sejajar perubahan masa, saya yakin orang ramai akan memahami apa yang Kerajaan Sarawak laksanakan.

Apakah seruan Datuk Patinggi kepada pengundi di negeri ini?

Memang kita dalam proses demokrasi dan mahu seramai mungkin rakyat Sarawak keluar mengundi. Jadi saya menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk keluar mengundi pada 19 November ini untuk nemberikan suara hebat demi masa depan negeri kita sendiri.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan