KUALA LUMPUR, 5 Nov: Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula secara rasmi hari ini dengan rekod calon yang bertanding bagi merebut kerusi Parlimen kali ini mencatatkan jumlah paling ramai, menjangkau sehingga 945 individu, menjadikan ia sebagai Pilihan Raya Umum paling sengit dalam sejarah negara.
Jumlah itu yang merangkumi 818 calon lelaki dan 127 wanita, meningkat berbanding 687 calon pada PRU14 dan 579 calon pada PRU13.
Proses penamaan calon yang berlangsung dari pukul 9 hingga 10 pagi berjalan lancar, dengan keadaan dilihat kembali meriah seperti sebelum kehadiran COVID-19, berikutan kemunculan para penyokong parti yang bertanding memenuhi 222 pusat penamaan di seluruh negara.
Bagaimanapun, polis mengesahkan berlaku kekecohan di luar pusat penamaan calon di Parlimen Tenom, dipercayai selepas pembatalan borang pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media hari ini memaklumkan enam borang pencalonan ditolak membabitkan empat kawasan Parlimen serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN), dan tiada calon yang menang tanpa bertanding.
PRU-15 juga menyaksikan empat gabungan politik tanah air, parti serta individu perseorangan yang bertanding Bebas berentap, dengan Pakatan Harapan (PH) menampilkan 206 calon, tertinggi dalam empat gabungan parti utama, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 178 calon, Perikatan Nasional (PN) (149) dan Gerakan Tanah Air yang bertanding atas logo Pejuang serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (116).
Gerakan Tanah Air (GTA) merupakan pakatan empat parti politik iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Putra, Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).
Bagi negeri Kelantan dan Terengganu, 22 calon PN bertanding menggunakan logo PAS, manakala sembilan calon GTA Kelantan bertanding menggunakan logo Putra, dan di Sarawak, lapan calon PH menggunakan logo DAP.
Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur paling mencuri tumpuan dengan pertembungan 10 penjuru, tertinggi di seluruh negara, antara penyandang, bekas penyandang, bekas timbalan menteri luar serta enam pencabar yang lain merangkumi antaranya peguam dan pempengaruh media sosial.
Ia disusuli saingan sembilan penjuru di kawasan Parlimen Ampang, lapan penjuru (tiga kawasan), tujuh penjuru (lima), enam penjuru (24), lima penjuru (43), empat penjuru (82), tiga penjuru (54) dan satu lawan satu (sembilan).
Dengan berakhirnya proses penamaan calon, beberapa kawasan dilihat menampilkan pertarungan sengit, antaranya Parlimen Tambun dan Bagan Datuk di Perak serta Gombak, Sungai Buloh dan Kuala Selangor di Selangor, yang melibatkan tokoh-tokoh utama parti politik.
Di Tambun, penyandang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dicabar Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua yang lain, sementara Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdepan pertembungan empat penjuru antaranya dengan bekas ketua penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Bagan Datuk.
Di Gombak pula, pertembungan ‘mentor’ dan ‘protege’ menyaksikan penyandangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Bersatu) berdepan anak didiknya yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam pertembungan lima penjuru.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang dipertaruhkan BN untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Buloh berdepan perlawanan tujuh penjuru, manakala Pengarah Strategi Amanah yang juga penyandang kerusi Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dicabar Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (BN) dan dua yang lain.
Proses demokrasi kali ini menjadi medan mencuba nasib bagi ramai calon Bebas yang mencatatkan sehingga 108 calon, dengan Selangor menjadi negeri tumpuan iaitu seramai 24 calon, menggunakan pelbagai logo antaranya gajah, pen, jam loceng, cangkul dan pokok.
Antara calon Bebas itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin di Padang Besar, bekas Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Tan Sri M. Kayveas (Ipoh Barat), aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (Puchong), penyandang Parlimen Bentong Wong Tack dan aktivis Abdul Rani Kulop Abdullah (Port Dickson).
Selain itu, PRU-15 juga menyaksikan empat penyandang bertanding di atas tiket parti berbeza daripada sebelum ini, membabitkan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang bertanding di kawasan Parlimen Arau atas tiket PN, (BN-UMNO sebelum ini) dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib di Parlimen Maran (BN-UMNO sebelum ini).
Datuk Che Abdullah Mat Nawi pula bertanding di kawasan Parlimen Tumpat atas tiket BN (sebelum ini atas tiket PAS) dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bertanding di Kuala Nerus atas tiket BN (sebelum ini atas tiket PAS).
Dari segi usia, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing di Langkawi dan Gua Musang, menjadi calon tertua dengan masing-masing berumur 96 dan 85 tahun, manakala calon termuda ialah calon Bebas, Peggy Chaw Zhi Ting, 23, di Tenom, Sabah.
Selain 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, pilihan raya bagi 116 kerusi DUN di Perlis, Pahang dan Perak turut diadakan serentak selepas ketiga-tiga negeri itu membubarkan DUN masing-masing susulan pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Okt lepas.
Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru pula diadakan serentak dengan PRU15 berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.
Seramai 21,173,638 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRU15 meliputi 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov. – TVS