MIRI, 5 Nov : Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Miri, Jeffery Phang Siaw Foong memohon kerjasama penuh rakyat di kawasan itu merealisasikan impian GPS menyapu bersih kesemua 31 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15 bagi mengembalikan hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah terhakis.
Katanya, beliau berazam untuk memenangi kerusi Parlimen Miri supaya pihak Kerajaan Persekutuan mendengar dan mengembalikan hak-hak Sarawak di dalam MA63.
“Sekiranya dapat menang balik kesemua 31 kerusi, kita mempunyai mandat yang besar, suara yang lantang dan mengembalikan hak- hak Sarawak yang terhakis, ” katanya di majlis bersama penyokong di Eastwood Valley selepas penamaan calon hari ini.
Tambahnya juga, ini merupakan peluang untuk GPS mengambil semula kerusi Parlimen Miri setelah 10 tahun disandang oleh parti pembangkang sebelum ini.
Pada masa yang sama, beliau akan memastikan kebajikan bandaraya Miri serta rakyatnya akan terus terpelihara bukan sahaja untuk masa kini, tetapi juga untuk generasi akan datang.
“Kita kena faham dan ambil tahu, apa hala tuju kita. Kita ada rancangan besar untuk Miri bersama pemimpin GPS yang lain. Bersama-sama kita jadikan Miri hebat dan bertambah baik, kemenangan di Miri adalah kemenangan untuk semua penyokong GPS, turunlah beramai-ramai membuang undi pada 19 November ini, ” ujarnya.
Pada PRU-15, Jeffery Phang akan bertembung dengan dua calon iaitu Chiew Choon Man dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Lawrence Lai dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).- TVS