PUTRAJAYA, 5 Nov: Parlimen 115 Batu mencatatkan jumlah pertandingan tertinggi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan pertembungan 10 penjuru.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media SPR berkata, enam kertas pencalonan ditolak merangkumi empat kertas Parlimen dan dua kertas Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pada kali ini, sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan dan 117 kerusi DUN Pahang, Perlis, Perak dan Bugaya, Sabah.
“Tiada kerusi yang menang tanpa bertanding,” kata Abdul Ghani dalam sidang media urusan penamaan calon di sini, hari ini.
Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pilihan raya, Abdul Ghani berkata, ia akan dijelaskan kelak.
Terdahulu, SPR menetapkan 19 November sebagai hari mengundi manakala 15 November sebagi hari pembuangan undi awal.
Dalam PRU-15, lebih 21.17 juta pemilih yang berdaftar iaitu peningkatan sebanyak enam juta berbanding PRU-14.
Daripada jumlah tersebut, Sarawak mencatatkan sebanyak 1.94 juta pemilih berdaftar.
Susulan Undi18 juga, lebih 1.39 juta pengundi kali pertama berusia 18 hingga 20 telah didaftarkan secara automatik.- TVS