KOTA SAMARAHAN, 5 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak( GPS) bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang akan meneruskan visi dan matlamat mempertingkatkan transformasi di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu meliputi DUN Muara Tuang, Stakan dan Asajaya.
Menurutnya, transformasi itu bukan sahaja daripada sudut infrastrukutur tetapi juga dari sudut pembangunan modal insan, telekomunikasi, kesihatan dan pembangunan pendidikan yang mana banyak perubahan telah berlaku di Kota Samarahan yang dahulunya kawasan terpencil kini menjadi Pusat Ilmu di Sarawak.
‘Sekiranya dipilih sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, masyarakat Kota Samarahan akan terus mengalami transformasi dengan banyak perubahan terutama kepada golongan muda atau belia yang membangkitkan lagi semangat transformasi, ” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Suarah Kota Samarahan hari ini.
Rubiah berharap masyarakat terus memberi sokongan kepada GPS untuk menang dengan lebih bergaya kali ini menerusi mandat yang diberikan.
“Mengenai calon parti AMANAH yang ditentang, ia perkara biasa dalam proses demokrasi berparlimen, kita berharap dapat menjalani PRU secara positif, kita mempunyai niat yang sama untuk meraih sokongan.
“Namun, impian dan kekuatan GPS atau kesepaduan kita akan memastikan saingan kemenangan hebat untuk GPS di kerusi Parlimen Kota Samarahan yang menjadi kubu kuat GPS di Sarawak, ” ujarnya.
PRU-15 ini menyaksikan penyandang dua penggal kerusi Parlimen Kota Samarahan, Rubiah ditentang calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Abang Abdul Halil Abang Naili dalam pertembungan dua penjuru.
Pada PRU-14, Rubiah berjaya menewaskan Sopian Julaihi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Zulkipli Ramzi dari Parti Islam Semalaysia(PAS) dengan majoriti 16,992 undi.- TVS