MARUDI, 4 Nov: Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki warganeagara Indonesia yang disyaki terlibat dalam satu kes bunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Baram, Marudi.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Mohd Ruslan Mat Kib, lelaki yang dikehendaki terbabit dikenali sebagai Alfarijin (gambar), berasal dari Indonesia dan beralamat tetap di Dusun Suka Maju, Kaleo, Indonesia.
Kenyataan turut memberitahu kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mohd Ruslan mendedahkan pada 1 November lalu, seorang anggota polis bertugas menerima panggilan telefon daripada orang awam yang merupakan pekerja di ladang kelapa sawit berkenaan.
Pemanggil memberitahu kepada polis bahawa terdapat seorang pekerja warga negara asing di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Baram, Marudi tidak sedarkan diri dipercayai dibunuh.
“Sehubungan itu, polis kini sedang berusaha mengesan seorang lelaki warga negara Indonesia bernama Alfarijin yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan lanjut polis berhubung kes ini,” katanya.
Bertindak daripada maklumat, ujarnya polis kini sedang mengesan suspek yang masih bebas bagi membantu menyelesaikan siasatan lanjut polis berhubung kes ini.
“Orang awam yang mengenali atau mengetahui di mana lelaki terbabit berada, bolehlah menghubungi pegawai penyiasat ASP George Shua Apau Pana melalui talian 019-6588968 atau Balai Polis yang berdekatan,” jelasnya menerusi kenyataan. – TVS