KUCHING, 3 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletak harapan yang tinggi kepada calon baharu bagi kerusi Parlimen Bandar Kuching, Eric Tay Tze Kok, 44, untuk merampas kembali kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Katanya, kepercayaan yang diberikan oleh GPS untuk bertanding di kerusi tersebut merupakan peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Saya berasa amat bangga dan akan berusaha membuat yang terbaik pada PRU-15 bagi memenangi kerusi ini walaupun Parlimen Bandar Kuching sememangnya merupakan kawasan yang sukar untuk dimenangi.
“Saya percaya jika kita semua bekerjasama demi masa depan rakyat Sarawak, kita akan mampu merampas kerusi ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada Calon-Calon PRU-15 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Pada PRU-14, kerusi Parlimen Bandar Kuching dimenangi Dr Kelvin Yii dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan majoriti sebanyak 35,973 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kho Teck Wan yang memperoleh 12,575. -TVS