KUALA LUMPUR, 3 Nov: Gambarkan situasi ini, anda menerima panggilan telefon daripada individu, kononnya dari parti politik tertentu dan ingin melakukan tinjauan (survey) bagi melihat kecenderungan pengundi untuk mengundi calon atau parti yang bertanding.
Antara soalan yang diajukan, “Encik tahu mengundi di kawasan mana? Siapa yang encik akan undi? Encik tahu encik ada hak untuk mendapat peruntukan (wang) jika mengundi parti ini?”
Dalam ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hangat terasa, persoalannya, bagaimana untuk memastikan panggilan berkenaan adalah benar-benar daripada individu parti politik untuk tujuan survey dan bukannya pihak sindiket atau scammer yang menyamar?
Sudah tentu juga yang menjadi persoalan, bagaimana mereka memperolehi data anda sebagai pengundi termasuk nombor telefon?
Ini antara isu yang mengundang keresahan banyak pihak menjelang PRU-15 yang dijadual berlangsung pada 19 November depan, apabila data peribadi sewenang-wenangnya boleh diakses dan dimanipulasi pihak berkepentingan.
PENGUNDI, CALON BERISIKO
Mengulas isu berbangkit, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Azrul Zafri Azmi berkata, aktiviti jual beli data menjadi lumrah ketika musim pilihan raya, dan mereka yang terlibat akan mendapatkan data yang dikehendaki termasuk melalui kaedah tinjauan bagi tujuan analisis politik.
“Data berkenaan boleh jadi sangat terperinci melibatkan nama penuh, alamat rumah, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan kawasan mengundi.
“Ia disyaki diperolehi daripada syarikat telekomunikasi dan sebelum ini pernah tular terdapat kebocoran data peribadi pengguna melalui agensi kerajaan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Dakwaan seperti ini perlu disiasat secara telus dan segera bagi mengelakkan lebih banyak kebocoran data untuk didagangkan sesuka hati. Pihak berkuasa perlu menyiasat individu yang terlibat dalam penyelenggaraan sistem dan pelayan pengkalan data,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Memetik laporan Bernama pada 28 September tahun lepas (2021), LHDN bagaimanapun menafikan dakwaan kebocoran jutaan data peribadi rakyat Malaysia untuk sistem myIDENTITY seliaan JPN diperoleh daripada laman sesawangnya.
Susulan daripada dakwaan berkenaan, LHDN berkata pihaknya menjalankan siasatan dalaman dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.
Menyifatkan data pengguna yang diperoleh sebagai komoditi yang amat berharga dalam dunia digital hari ini, Azrul Zafri berkata, data berkenaan digunakan untuk tujuan menganalisa tingkah laku individu bagi kepentingan komersial, politik dan juga sindiket penipuan.
“Dalam konteks pilihan raya, baik data pengundi atau calon, kedua-duanya dianggap berisiko. Data pengundi boleh dijual kepada parti politik untuk menentukan keberkesanan aktiviti kempen, manakala data calon pula boleh dijual kepada parti lawan dengan tujuan mencari kelemahan peribadi semasa kempen,” jelasnya.
KEUNTUNGAN POLITIK, PERIBADI
Permintaan yang tinggi terhadap data berkaitan menyumbang kepada kerancakan aktiviti jual beli data untuk dimanipulasi bagi tujuan politik, perniagaan, penipuan dan aktiviti jenayah.
Walaupun proses jual beli biasanya dikaitkan dengan pasaran gelap (dark web) namun terdapat juga pihak yang berani menjalankan operasi di pasaran terbuka seperti di forum dalam talian.
Sebagai contoh, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) pada 14 Jun 2022 mengeluarkan arahan sekatan kepada pembekal perkhidmatan Internet (ISP) bagi menghalang urusan jual beli data di sebuah laman web terbuka.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan untuk menurunkan laman web tersebut dilakukan sekitar pukul 6.30 petang, hari yang sama selepas isu penjualan data dari laman web tersebut mula didedahkan menerusi laman Twitter pada pagi 12 Jun 2022.
Azrul Zafri pada masa sama menambah, kebocoran data yang berlaku berisiko mendedahkan pengguna Internet kepada pelbagai aktiviti jenayah termasuk Macau Scam, keldai akaun dan pelbagai jenis penipuan yang bukan sahaja merugikan bahkan membahayakan nyawa mereka.
“Internet adalah medium yang sangat membantu untuk mendapatkan pelbagai maklumat berguna dari aspek pendidikan, perniagaan dan pelbagai lagi.
“Namun, pengguna perlu diberi pendidikan sejak awal berhubung kaedah terbaik menggunakannya tanpa merisikokan diri terutama dalam perkara yang melibatkan data peribadi,” katanya menambah, pendidikan siber menjadi benteng terakhir pengguna melindungi diri mereka dari menjadi mangsa scammer dan dimanipulasi pihak tertentu.
ZAMAN IOT, IR 4.0
Sementara itu, Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam, Profesor di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, manipulasi data semakin rancak berlaku pada zaman Internet Benda (Internet of Things (IoT)) hari ini.
“Fenomena itu menjadi sangat ketara apabila kita berada pada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) atau zaman perkembangan teknologi 5G yang kita lihat terlalu banyak lambakan data terutama melalui media sosial dan Internet yang menyebabkan pengguna keliru, celaru tak tahu nak membezakan maklumat yang benar dan tidak benar.
“Dalam masa sama kita menjadi satu komuniti yang hanya akan membaca, mendengar, meneliti perkara atau maklumat yang kita suka dan menolak (maklumat) yang kita tidak suka. Keadaan ini disebut sebagai echo chamber. Inilah hakikat yang berlaku dan menjadikan ramai yang terdedah kepada maklumat yang tidak benar dan palsu,” katanya.
Menurut beliau, terdapat pihak terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya akan menggunakan pelbagai cara dan helah untuk memenangi kerusi dengan mengelirukan masyarakat sehingga menyebabkan berlakunya kecondongan pemikiran seterusnya pemilihan terhadap sesebuah parti atau kelompok.
Beliau memberikan contoh pilihan raya di Amerika Syarikat, Rusia, malah pilihan raya di Filipina baru-baru ini turut memperlihatkan trend masyarakat yang membuat pilihan berdasarkan data atau informasi yang dihidangkan kepada mereka.
MODUS OPERANDI
Kumpulan yang memanipulasi data lazimnya akan membeli data yang boleh didapati di pelbagai platform termasuklah ‘Meta’, yang mengawal data dan maklumat peribadi melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain.
Terdapat juga kelompok yang mencuri data daripada pelbagai platform kerana langkah itu lebih mudah dan cepat, tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak, selain tidak terikat dengan sekatan undang-undang.
Mohd Mizan menambah, antara kaedah yang dijalankan secara meluas ialah profiling yang merujuk kepada kaedah mengutip dan mengumpul data berkaitan daripada pelbagai sumber dan disimpan untuk tujuan tertentu.
“Sebagai contoh, tempoh masa individu menggunakan Internet, rakan sosial dan perkara yang menjadi kesukaan mereka, laman web yang dilayari dan cerita atau program yang ditonton. Profiling akan dibuat berdasarkan bentuk maklumat berkenaan dan daripada situ, mereka boleh mengetahui corak atau pola pemikiran individu, masyarakat bahkan sesebuah negara.
“Manipulasi data ini boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja termasuklah majoriti atau disebut sebagai bottom million atau masyarakat yang ramai. Ia juga boleh berlaku kepada segelintir yang di atas (top few). Kedua-dua pihak berisiko untuk dipergunakan oleh pihak tertentu bagi mencapai apa yang diinginkan,” jelasnya.
Data turut diperdagangkan secara rahsia sama ada di laman web tertentu atau sesama penggodam yang mempunyai komuniti tersendiri, saling berkait dan bertukar maklumat yang dikehendaki.
“Kelompok mereka (penggodam) ini kukuh, licik, cukup terjaga dan menjadi suatu yang sukar untuk pihak keselamatan menembusi melainkan harus bersama mereka atau menjadi sebahagian daripada mereka.
“Penggodam mengaut keuntungan daripada data yang dijual dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi terutama dalam dunia tanpa sempadan hari ini.
“Namun pihak yang membeli data juga bukanlah membeli secara semberono, sebaliknya dengan tujuan tertentu untuk data itu dimanipulasi semampu mungkin dan akhirnya memberi keuntungan kepada mereka, sebagai contoh apabila memenangi pilihan raya,” katanya menambah, nilai data menjadi semakin tinggi bergantung kepada kesukaran untuk mendapatkannya.
TEORI ESIM
Tujuan utama manipulasi data ialah mengubah pola pemikiran dan pemahaman masyarakat ramai melalui modifikasi yang dilakukan ke atas data, agar seiring kecenderungan mereka memilih calon yang bertanding pada pilihan raya.
“Apabila kita mempunyai satu persepsi dan pemikiran yang sangat baik terhadap seseorang calon berdasarkan data dan maklumat yang disajikan, secara automatik pasti individu itu akan menjadi calon pilihan.
“Jika dahulu pembunuhan karakter (character assassination) dilakukan secara memfitnah dan diperbesarkan di media cetak malah mungkin boleh sampai ke tahap pembunuhan fizikal individu.
“Namun hari ini, cukup dengan melemparkan pelbagai isu di media sosial, sehingga ramai ahli masyarakat bertindak menolak dan membenci individu terlibat sekali gus boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya,” katanya menambah, manipulasi data turut berisiko meracuni fikiran rakyat.
Mengaitkan fenomena manipulasi data dengan teori ‘Elaborated Social Identity Model (ESIM)’, beliau berkata, ia bertujuan untuk mendapatkan data, seterusnya mempengaruhi psikologi serta mengubah tingkah laku sosial (social behavior) dalam kalangan masyarakat.
Teori ESIM digunakan secara meluas dalam era moden bagi tujuan mengubah pola pemikiran masyarakat dan menterjemahkan semula sesuatu perkara atau sesuatu isu sehingga akhirnya suatu kelompok yang ramai (crowd) mempunyai pemikiran dan pemahaman berbeza berbanding sebelumnya.
Menurut beliau, kaedah berkenan terbukti berjaya dilakukan dalam beberapa kajian termasuk pilihan raya dan dalam memahami isu berkaitan peperangan.
ANCAMAN, PEMERKASAAN UNDANG-UNDANG
Dalam perspektif lebih luas, manipulasi data berisiko mengundang ancaman daripada aspek sosial, kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara, apabila maklumat data yang sulit dan sensitif menjadi ‘senjata’ kepada pihak tertentu untuk melemahkan rakyat dan negara.
“Sebagai contoh maklumat perbualan telefon Perdana Menteri dengan pihak tertentu termasuk dari luar negara yang membincangkan isu polisi, hubungan antarabangsa, maklumat risikan, operasi di luar negara dan lain-lain, sekiranya didedahkan, automatik tidak selamat dan menjadi subjek untuk (negara) diceroboh.
“Dalam isu pilihan raya pula, apabila data dimanipulasi, maka keputusan politik yang dibuat pastinya berbeza dengan pertimbangan sebelumnya.
“Pemimpin yang dipilih bukan lagi berdasarkan merit sebaliknya disebabkan faktor ‘kejayaan’ mereka menjuarai isu tertentu yang berkesan mempengaruhi pola pemikiran rakyat,” katanya menambah, perkara itu dibimbangi akan memberi implikasi negatif untuk jangka masa panjang termasuk isu ketegangan etnik dan agama.
Berpendapat semua pihak perlu memperkukuhkan sistem pertahanan data mereka, setidak-tidaknya bagi mengurangkan risiko kejadian itu, beliau berkata, isu manipulasi dan pencerobohan data akan menjadi semakin serius dan memungkinkan rakyat tidak dapat menbezakan antra yang benar dan palsu, selepas teknologi 5G disebarluas ke seluruh dunia.
“Selagi perkembangan teknologi terus berlaku, selagi itulah ada permintaan dan penawaran (jual beli data) seterusnya manipulasi dan kebocoran data berlaku. Kita tidak dapat mengelak daripada menggunakan teknologi tetapi kita boleh terus mendidik masyarakat untuk menjadi lebih bertanggungjawab.
“Undang-undang dan akta sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimanfaatkan sepenuhkan dalam setiap isu berkaitan manipulasi atau kebocoran data pengguna,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menegaskan, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 sebagai contoh boleh dibacakan bersama dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957 dan lain-lain, bagi mempertahankan keabsahan data yang dimiliki dan mengelak daripada dibocorkan dan disalahguna. – TVS