Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof berkata buat masa ini fokus GPS adalah untuk memastikan gabungan itu menang besar dalam pilihan raya kali ini demi meneruskan agenda memperjuangkan hak Sarawak.
“Yang penting kita sudah nyatakan kepada rakyat Sarawak yang GPS adalah GPS. Kita belum tentukan lagi dengan siapa kita akan bekerjasama. Yang penting bila kita membentuk kerajaan nanti, kita lihat apa langkah dan keputusan selepas pilihan raya,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis santai bersama ketua masyarakat di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan empat calon mereka bertanding di Sarawak pada PRU-15 adalah hak gabungan itu.
“Itu hak mereka (PN) dan bila mereka meletak calon bermakna mereka hendak berlawan dengan GPS. Kita akan melawanlah, kita akan lawan dan pastikan GPS akan menang,” katanya yang juga Menteri Kanan Kerja Raya.
GPS yang merupakan gabungan terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) merupakan rakan kepada PN dalam membentuk kerajaan Persekutuan, susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020. – TVS