LAWAS, 2 Nov : Banjir kilat yang menjejaskan penerbangan di Lapangan Terbang Lawas semalam, sudah surut sepenuhnya hari ini.
Tinjauan TVS hari ini mendapati, kerja-kerja pembersihan masih dilakukan dan lapangan terbang berkenaan masih belum dapat beroperasi seperti biasa.
Menurut wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang ditemui, kerja-kerja pembersihan belum selesai sepenuhnya kerana pihaknya hendak memastikan tapak pesawat mendarat tidak berpasir yang terhasil dari air banjir.
“Situasi itu berpotensi menyebabkan pesawat tergelincir susulan tapak yang licin akibat pasir yang dibawa air banjir,” katanya.
Sementara itu, wakil Polis Bantuan lapangan terbang itu memaklumkan air naik pada jam 4.30 pagi Selasa susulan hujan lebat semalaman.
“Namun air mula surut sekitar jam 6.15 pagi dan surut sepenuhnya pada jam 11 pagi Selasa, sekitar 686 meter landasan pesawat mendarat telah terjejas akibat banjir kilat yang berlaku.
Lapangan Terbang Lawas terpaksa ditutup tiga hari bermula semalam berikutan landasan dinaiki air akibat hujan lebat.
Jurucakap MASwings ketika dihubungi berkata, notis penutupan lapangan terbang itu hingga Khamis ini telah diterima daripada pihak pengurusan Lapangan Terbang Lawas.
‘Penutupan lapangan terbang ini menyebabkan sebanyak 10 penerbangan dibatalkan mulai jam 6.30 pagi mengakibatkan 100 penumpang terjejas semalam.
“Sebanyak 15 penerbangan membabitkan 232 penumpang turut dibatalkan pada hari ini, ” katanya. -TVS