KUCHING, 2 Nov: GiatMARA yang mempunyai 31 pusat latihan di Sarawak telah melahirkan 23,561 pelatih dalam pelbagai bidang.
Pengerusi GiarMARA Malaysia Dato’ Dr Din Adam berkata berdasarkan jumlah itu, impak yang dibawa kepada masyarakat setempat adalah sangat besar.
“Mungkin 20 tahun lalu, TVET (Techinal Education and Vocational Training) dianggap sebagai kelas kedua berbanding aliran akademik dalam kalangan para remaja dan belia di negara kita.
“Tetapi dalam hal ini TVET sebenarnya telah diangkat nilainya menjadi aliran alternatif untuk melangkah maju ke hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis graduasi GiatMARA di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah GiatMARA Negeri Sarawak, Abdul Halem Serojai dan Timbalan Pengarah GiatMARA Negeri Sarawak (Pentadbiran & Usahawan) Mohammad Nazib Pabeli.
Din seterusnya mahu warga kemahiran dan teknikal agar berbangga dengan bidang yang dipilih dan terbukti di aras dunia bidang TVET bukan hanya pilihan kedua semata-mata. Kini ramai yang telah membuka mata tentang kemahiran atau TVET.
“Mereka mula melihat TVET sebagai satu bidang yang mampu menjana pendapatan dan memberi masa depan yang cerah,” ujarnya.
Kini pelbagai sektor industri menawarkan peluang pekerjaan khususnya dalam bidang perkhidmatan dari graduan latihan kemahiran TVET.
“GiatMARA kini bukan biasa-biasa. GiatMARA kini mula dikenali di peringkat dunia,” katanya.
Majlis pada 26 Oktober lalu, seramai 953 para pelatih tamat latihan. Pada 2019, 2020 dan 2021 seramai 2,973 pelatih berjaya menerima Sijil Profesional GiatMARA di Sarawak.
Sementara itu, 103 orang pelatih akan menyertai sesi temuduga bersama industri pada 9 dan 10 November ini yang akan berlangsung di Majma Mall Kompleks Islam Sarawak. – TVS