KUCHING, 2 Nov: Peruntukan berjumlah RM13 juta disalurkan kepada agensi penyelidikan dan universiti di Sarawak sebagai usaha merangsang dan memperkasakan penyelidikan yang lebih inovatif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dana tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan Sarawak bagi membentuk bakat dan hasil yang boleh dikomersialkan.
“Kerajaan Sarawak menerusi Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) membolehkan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bertenaga dan berdaya saing di Sarawak melalui penyediaan dana, penyelarasan dan pemantauan aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC 2022 di sini, hari ini.
“Selain dapat memberi manfaat kepada ekonomi Sarawak, ia juga bakal mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menjadikan rakyat lebih berdaya saing,” tegasnya.
Simposium R&D yang bertemakan ‘Research That Matters’, menurut Abang Johari adalah penumpuan yang harus diberikan kepada penyelidikan bagi menjana penyelesaian isu melibatkan komuniti masyarakat di Sarawak.
“Kita akan turut memastikan penyelidikan kita adalah relevan dan setanding dengan piawaian global untuk meningkatkan keterlihatan kita di peringkat antarabangsa,” katanya. – TVS