SIBU, 1 Nov: Jentera Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan memberikan kerjasama penuh kepada Naib Presiden PBB, Datuk Dr Annuar Rapaee dalam misi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menawan semula Parlimen Sibu dan Lanang.
Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah berkata misi tersebut harus disertakan dengan usaha yang ampuh selain turut bersama-sama memberikan sokongan antara satu sama lain dengan setiap komponen parti dalam GPS yang terdiri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Kita bekerjasama dengan Yang Berhormat Datuk Annuar untuk memastikan bahawa kita boleh tawan kerusi Parlimen Sibu dan Lanang. Tetapi mesti bekerja keras, sokong menyokong antara satu sama lain, buang tepi kalau ada perkara yang remeh temeh dan yang penting ialah kita bersatu padu sokong menyokong antara satu sama lain.
“Di mana ada kelemahan kita terus kuatkan mana-mana bahagian yang terdapat kelemahan dalam jentera parti kita.
“Hendak menang kita mesti bekerja keras dan kita turun pada hari ini untuk memberi sokongan padu kepada jentera parti terutama sekali untuk Parlimen Sibu dan juga parlimen Lanang,” katanya pada sidang media sempena perjumpaan jentera Wanita PBB Zon 7 dan 8 di sini pada Isnin.
Fatimah berkata, perjumpaan dengan jentera Wanita PBB di Bahagian Sibu adalah bagi memastikan semangat serta kesepaduan pergerakan itu dalam melaksanakan misinya menawan semula dua kerusi parlimen di bahagian terbabit.
Katanya, jentera pilihan raya GPS tidak boleh tersilap langkah dalam misinya selain harus komited untuk memenangkan calon GPS seterusnya menamatkan era penguasaan pembangkang di Sibu.
“Jadi atas sebab itu kita tidak boleh salah langkah dan semua harus komited dan buat kerja dengan teliti, seterusnya pastikan calon kita menang,” katanya. – TVS