IPOH, 31 Okt : Kereta diterbalikkan sehingga terbakar, gas pemedih mata dibaling, semburan air dikeluarkan dan penghadang jalan pecah, antara drama ditampilkan dalan simulasi latihan oleh Polis Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Ketua Polis Pahang Mohd Yusri Hassan Basri berkata kira-kira 1,500 anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menyertai simulasi selama dua jam itu yang diadakan di pekarangan Stadium Perak di sini.
“Ia melibatkan simulasi dan latihan light force sebagai siap siaga menghadapi PRU sehingga tamat. Saya harap dengan latihan dan kursus yang diadakan ini dapat meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan pegawai dan anggota bagi menghadapi segala kemungkinan,” katanya ketika ditemui selepas latihan itu hari ini.
Pemerhatian Bernama mendapati simulasi itu melibatkan drama rusuhan antara penyokong parti dengan polis antirusuhan dilengkapi penghadang dan topi sehingga ada perusuh yang ‘ditangkap’ sebelum situasi berjaya dikawal serta ditenangkan.
Untuk PRU-15, hanya tiga negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan PRU-15 iaitu Perlis, Pahang dan Perak.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kini mengandungi 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu).
DUN Perak mempunyai 59 ADUN dan memerlukan sokongan 30 ADUN bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. -TVS