KUCHING, 31 Okt: Lagu ‘Kerna Ku Sanggup’ membawa tuah kepada Nur Ain Nadzirah apabila menjuarai Waterfront Idol yang diadakan di Tebingan Kuching pada Ahad malam.
Dia yang menewaskan lapan peserta lain, membawa pulang hadiah RM1,500, piala dan sijil.
Tempat kedua dimenangi Harris Haron yang mendendangkan lagu ‘Hati Yang Tersakiti’. Dia memenangi RM1,000, piala dan sijil.
Elliza Suezina dengan lagu berjudul ‘Hati Yang Tersakiti’ memenangi tempat ketiga, melayakkan dia membawa pulang wang tunai RM800, piala dan sijil.
Enam peserta lain menerima wang saguhati dan sijil.

Hadiah-hadiah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Dayang Mariana Abang Bolhassan.
Program anjuran Majlis Seni Sarawak yang menampilkan pengacara Iwan Dasri ini diadakan bagi memeriahkan Sarawak Regatta 2022.