SEMPORNA, 30 Okt : Jentera parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) menegaskan mereka tidak gentar untuk bertanding di kerusi Parlimen Semporna pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Pengarah Strategik Jentera Pilihan Raya (GRS) Semporna, Adam Shah Mohammad berkata, persiapan rapi telah dilakukan untuk ‘masuk’ ke Semporna yang diketahui sebagai kubu kuat Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“Kita tidak akan mengibar bendera putih sebelum bertarung sebaliknya akan terus mara untuk menghadapi saingan sengit di kerusi itu,”katanya ketika ditemui TVS di sini hari ini.
Ditanya tentang peluang untuk merampas kerusi berkenaan, Adam Shah berkata, kerja keras oleh jentera parti di semua peringkat sangat diperlukan untuk merealisasikan hasrat berkenaan.
“Kita sedia maklum yang ini kerusi panas apabila Presiden WARISAN juga berada di Semporna namun kami percaya sesiapa sahaja mampu menang sebelum tanggal 19 November,” katanya.
Pada PRU-14, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menang kerusi itu dengan majoriti 20,674 undi menewaskan calon BN, Pas dan Parti Harapan Rakyat Sabah. -TVS