KUCHING, 28 Okt : Penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, beliau masih mahu berkhidmat kepada rakyat sekiranya dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) ini.
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau sedar mengenai kecaman yang diterimanya namun katanya apa yang lebih penting ialah memberikan khidmat kepada Sarawak dan Malaysia.
Kata Willie, beliau merupakan ‘orang parti’ Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah membuktikan kebolehannya dan akan terus memberikan komitmen jika dicalonkan semula dan menang.
“Sesetengah pihak menuduh saya sebagai pengkhianat dan katak kerana lompat parti, tetapi tidak ada katak lain yang telah diterima parti dan memberi perkhidmatan melebihi yang bukan katak.
“Saya akan serahkan kepada orang ramai untuk membuat keputusan tetapi saya ingin berkata bahawa saya komited kepada parti. Saya sanggup berkorban demi Sarawak dan Malaysia supaya lebih maju,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pesta Lada 2022 di sini hari ini.
Pada 2018, Willie menang kerusi Parlimen Puncak Borneo atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun meninggalkan parti itu pada 2020 dengan menyertai Bersatu.
Bagaimanapun pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tahun lepas Willie menyatakan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan diterima menjadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada tahun ini.
Mengenai pencalonannya pula, Willie berkata, beliau menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi GPS.
“Sesiapa sahaja yang dipilih untuk bertanding pada PRU ini, saya akan beri sokongan padu. Jika parti tidak memilih saya sebagai calon, orang lain akan menjadi calon, saya akan sokong.
“Jika saya dipilih, saya juga mengharapkan sokongan yang sama,”katanya. – TVS