KUCHING, 30 Okt : Calon baharu yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini perlu lebih lantang ketika menyuarakan masalah rakyat di Sarawak.
Penganalisis politik di Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini bagi memastikan suara rakyat bukan sahaja didengari di sini malah sampai ke peringkat nasional.
“Muka baharu yang bakal ditampilkan kelak dan sekiranya menang, mereka perlu pastikan suara bergema di Dewan Rakyat.
“Mereka juga perlu berani menyuarakan kepentingan Sarawak namun pada masa sama mempunyai pemikiran bersifat nasional,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menampilkan calon baharu pada PRU-15 ini.
Sementara itu, Awang Azman turut berpandangan yang calon harus mempunyai latar belakang pendidikan yang baik serta berupaya menarik sokongan dan menyantuni rakyat.
“Sudah pastilah mereka perlu peka terhadap isu setempat yang mahukan pembangunan dipercepatkan,”katanya.
Tambah beliau kriteria ini diperlukan khususnya bagi memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memastikannya menjadi agenda khusus untuk Sarawak.
Pada masa sama, beliau turut berharap agar muka baharu yang bakal ditampilkan GPS mampu memberikan kelainan serta kelebihan yang baik kepada Sarawak. -TVS