Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penyandang kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sidang media selepas keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama.

Kes dana Armada: Syed Saddiq beri keterangan bermula 22 Feb 2023

ByBernama

KUALA LUMPUR, 28 Okt : Penyandang kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membela diri bagi menjawab empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini pada  22 Feb tahun depan.

Syed Saddiq, 29, memakai blazer biru gelap memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan Presiden MUDA itu membela diri atas empat pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Saya telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan setelah memberi pertimbangan yang maksimum sepertimana yang telah ditetapkan oleh undang-undang, saya berpuas hati dan mendapati bahawa bagi keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintahkan untuk membela diri bagi setiap pertuduhan,” kata Azhar.

Beliau memaklumkan kepada Syed Saddiq bahawa bagi tujuan membela diri, tertuduh mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang mana keterangan secara tidak bersumpah atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq memberitahu mahkamah seramai 15 saksi termasuk anak guamnya akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang mungkin mengambil masa hampir dua minggu.

Azhar kemudian bertanyakan kepada kedua-dua pihak sama ada perbicaraan boleh diadakan tahun depan memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 akan berlangsung dan semua pihak akan sibuk.

Gobind memohon agar perbicaraan bermula Februari tahun depan dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah perkara itu.

“Sekiranya mereka (pembelaan) ingin menggunakan pernyataan saksi, saya tiada bantahan jika ia diserahkan (kepada pendakwaan) seminggu sebelum saksi memberi keterangan,” kata Wan Shaharudin.

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu bermula 22 hingga 24 Feb serta 13 dan 14 Mac dan 10 hingga 14 April tahun depan.

Kes itu turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Noor Syafina Mohd Radzuan dan Mohd Shahrom Idris manakala peguam Datuk S. Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit juga mewakili tertuduh.

Syed Saddiq tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, kira-kira 9.15 pagi dan turut hadir ibu serta bapanya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Rafiq Hakim Razali (ketika itu) yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Ketika ditemui pemberita, Syed Saddiq berkata sudah tiba masanya beliau diberi peluang untuk membersihkan namanya dengan memberi kenyataan secara bersumpah dalam prosiding membela diri.

“Saya akan menjelaskan kebenaran daripada perspektif peribadi bagi menegakkan keadilan,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan mahkamah akan memberi kesan kepada kempen MUDA pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Presiden MUDA itu berkata beliau akan mengadakan mesyuarat parti secepat mungkin bagi membincangkan perkara berbangkit secara mendalam.

“Saya juga fikir ia bergantung kepada rakyat untuk menilai (keputusan mahkamah hari ini),” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

ByBernama-
ByBernama-
ByBernama-