CHUKAI, 28 Okt: Janin yang ditemukan seorang pekerja pembersihan dalam tandas sebuah masjid di Kampung Labohan, Kertih di sini disahkan bukan janin manusia sebaliknya janin kucing.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata perkara itu disahkan oleh Unit Forensik Hospital Kemaman.
“Ujian oleh Unit Forensik mengesahkan bahawa janin yang ditemui bukanlah milik manusia seperti disangka, tetapi sebenarnya janin kucing,” katanya kepada Bernama pada Khamis malam.
Terdahulu, kira-kira 12 tengah hari semalam, anggota kariah digemparkan dengan penemuan satu janin yang menyerupai janin manusia di atas lantai tandas masjid itu. – TVS