KUCHING, 27 Okt : Kejayaan besar dicatatkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang lalu menunjukkan tahap keyakinan tinggi pengundi terhadap kerajaan gabungan itu.
Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ammar Redza Ahmad Rizal berpandangan, GPS tidak akan mensia-siakan kepercayaan rakyat.
Beliau kata, GPS dijangka akan terus memperjuangkan hak-hak Sarawak melibatkan pelbagai sudut.
“Dalam konteks Sarawak ini, saya percaya bahawa GPS bukan sahaja telah menunaikan manifesto yang dibentangkan tetapi juga berupaya menunjukkan kemampuan berdiri sendiri untuk mentadbir negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika muncul dalam rancangan Malaysia Decides terbitan TVS, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ammar Redza berkata, keyakinan sedia ada ini bergerak seiring dengan tindakan dan inisiatif dilaksanakan oleh GPS.
”Ini seterusnya menjadi resepi untuk gabungan ini lebih cemerlang pada masa akan datang,”katanya.
Menerusi asas berkenaan juga katanya, GPS akan mampu memenangi semula 12 kerusi yang mereka tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar GPS memberi lebih ruang kepada calon dalam lingkungan usia 20an hingga 30an sebagai strategi menarik perhatian pengundi muda dan yang baharu.
“Mana-mana parti perlu menampilkan formula yang merangkumi muka-muka baharu, yang lebih segar kerana akan berupaya menarik perhatian kumpulan pengundi lingkungan usia 18 hingga 21 tahun,”katanya.
Ini kerana ujar beliau kemungkinan 30 peratus pengundi pada PRU-15 adalah kelompok berkenaan.
GPS katanya telah menggunapakai kaedah berkenaan pada PRN-12 lalu dan boleh diperluaskan lagi sekaligus menunjukkan keharmonian dalam GPS mencorak landasan untuk calon muda menjadi wakil rakyat. – TVS