KUCHING, 26 Okt: Lapan lagi peserta akan berentap di atas pentas Getaran Jiwa, program realiti nyanyian terbitan TVS pada Jumaat malam (28 Oktober).
Peserta dari Sarawak ialah Mady Spuan yang akan mendendangkan lagu Zuraidah, Tcy Agnes (Darah Muda), Irwan (Azizah), Shamshul (Kalau Kaca Menjadi Intan) dan Rina Ramlee (Bossanova) manakala dari Sabah – Shazlan (Jeritan Batinku), Jamliah Pesan (Berkorban Apa Saja) dan Suili (Malam Ku Bermimpi).
Dua dari lapan peserta ini akan dipilih untuk berentap di pentas separuh akhir kelak.
Diadakan di Stadium MBKS, Bintawa di sini, program ini memerlukan para peserta mendendangkan lagu klasik Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma. Dewan dibuka mulai 7 malam.
Ia disiarkan secara langsung menerusi TVS saluran 122 Astro dan MYTV pada pukul 8.45 malam.
Program berkenaan menampilkan penyanyi terkenal tanah air, Dato Nash sebagai ketua juri bersama penyanyi terkenal Sarawak Norafizah Busman.
Pada minggu ini, Getaran Jiwa menjemput penyanyi Ayai Ilusi sebagai juri jemputan.
Penyanyi Sissy Iman dan Jiggy Masin bertindak selaku pengacara manakala program kapsul, Debaran Jiwa yang bersiaran sebelum siaran langsung Getaran Jiwa akan dikendalikan oleh Fattah Bolhanuddin dan Siti Zawawi.
Menerusi episod pertama pada minggu lepas, Sam Dean dan Izwan Dahlan berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir.
Pentas final pula akan berlangsung di DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Juara akan membawa pulang RM30,000 diikuti RM20,000 untuk naib juara dan RM10,000 untuk tempat ketiga. – TVS