KOTA KINABALU, 26 Okt : Jentera parti di kawasan parlimen masing masing telah diarahkan untuk mengenalpasti pengundi mereka berikutan pertambahan jumlah daftar pengundi yang mendadak di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata mereka kini masih lagi dalam meneliti pengundi-pengundi yang meragukan latar belakang.
“Kita telah mengarahkan jentera parti masing masing di kawasan untuk meneliti dan melihat pengundi sama ada mereka datang dari kawasan itu atau bukan. Pasukan petugas khas telah ditubuhkan di peringkat daerah masing masing.
“Mereka saja yang tahu, mereka tinggal di sana berpuluh-puluh tahun jadi mereka tahu. Nanti kita akan terima laporan apabila semua penelitian ini dibuat,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Minyak Masak ‘Sayang’ di Anjung Selera, Likas pada Rabu.
Sebelum ini, jumlah daftar pengundi di Sabah dilihat meningkat secara mendadak dan ia turut didedahkan oleh beberapa pemimpin parti di negeri ini. -TVS