LIMBANG, 26 Okt : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Limbang merampas 1,850 biji telur penyu di kawasan seberang sungai Kuala Berawan dekat sini dalam Op Pensura pada Isnin.
Dalam operasi dan rondaan yang dijalankan jam 11.45 pagi telur penyu bernilai RM5,550 ditemui di dalam sebuah pondok yang berpenghuni.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata anggota PPM Wilayah Lima Limbang terpaksa menunggu hampir sejam di kawasan pondok itu tetapi tidak ada orang yang datang.
“Pintu pondok tersebut terbuka dan ketika membuat pemeriksaan di dalam pondok tersebut terdapat empat kotak polisterin dibaluti plastik,” katanya dalam kenyataan media kepada TVS pada Selasa.
Katanya kotak tersebut dibawa ke PPM Wilayah Lima untuk pemeriksaan lanjut.
Rampasan dibuat di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 Jabatan Perhutanan Sarawak. – TVS