KUALA LUMPUR, 25 Okt: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Rishi Sunak, di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu.
Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook hari ini, melahirkan keyakinan dengan dedikasi dan kepimpinan Sunak, selain berharap agar dapat bekerjasama rapat dengan rakan sejawatnya itu untuk meraih potensi hubungan Malaysia dan UK.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama (Sunak) untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara. Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh,” katanya.
Ismail Sabri turut mendoakan agar Sunak diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan, dan rakyat UK akan terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran.
Menurut perdana menteri beliau amat berbesar hati dengan pencapaian yang telah dikecapi setakat ini, dalam meniti hubungan erat kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 65 tahun yang lalu.
“Malaysia dan UK telah menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata hubungan Malaysia dan UK yang akrab, sejarah dan aspirasi bersama sememangnya telah membawa manfaat yang amat besar, kepada rakyat kedua-dua negara.
Terdahulu Bernama melaporkan Sunak, 42, bekas Ahli Kabinet Boris Johnson ialah Perdana Menteri ketiga Britain dalam tempoh tujuh minggu, serta orang bukan kulit putih pertama memegang jawatan tertinggi. – TVS