KUCHING, 25 Okt: Lebih ramai wanita di Sarawak perlu diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Demikian pandangan Ikon Belia Sarawak 2022 Sharnaz Saberi yang berpendapat suara daripada wanita juga amat penting dalam membuat keputusan, termasuk dalam perkhidmatan awam.
Tanpa merujuk kepada mana-mana parti politik, beliau berkata lebih ramai wanita juga perlu dilantik ke jawatan tertinggi pengurusan, seperti Lembaga Pengarah Syarikat dan ketua masyarakat.
“Jika kita lihat menerusi inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, banyak yang sudah dibuat seperti program kepimpinan, selain cuba untuk membuat pangkalan data bagi mengenal pasti calon yang berpotensi pada masa hadapan dari segi perspektif terbaik mereka.
“Hal ini supaya apabila kita bercakap mengenai tahun 2030 nanti, kita sudah mendapat kesinambungan untuk pelapis kita,” katanya pada Program Malaysia Decides terbitan TVS dengan tajuk perbincangan ‘Wanita Sarawak Menjelang 2030’ di sini, hari ini.
Tambahnya, penglibatan lebih ramai wanita dalam arena politik negara dijangka akan menyumbang kepada pendekatan yang lebih segar dan baharu dalam mencorak hala tuju politik Malaysia.
Sementara itu, mengenai manifesto yang akan dibentangkan oleh parti-parti politik yang bertanding, Sharnaz berkata, beliau menitikberatkan latar belakang calon berbanding manifesto dikemukakan oleh parti politik.
“Saya mahu melihat adakah pemimpin tersebut berkualiti, berwibawa dan mampu membawa Sarawak ke satu lagi zaman kegemilangan.
“Tetapi manifesto tetap memainkan peranan yang penting dan pemimpin, calon-calon parti politik perlu bijak untuk memilih manifesto agar pengundi wanita terutamanya lebih tertarik dengan manifesto yang dibentangkan kelak,” katanya.