SINGAPURA, 25 Okt: Singapura dan Sarawak hari ini mengumumkan mereka akan bekerjasama demi kepentingan bersama dalam penangkapan dan penyimpanan karbon serta kredit karbon.
Satu kumpulan kerja bersama akan ditubuhkan untuk bertukar-tukar dasar dan mengenal pasti projek yang berpotensi untuk dilaksanakan, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura.
Kementerian itu menyatakan bahawa Menteri Keduanya, Dr Tan See Leng dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan pertemuan hari ini di luar acara Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW).
“Singapura dan Sarawak gembira dengan hubungan di antara mereka yang telah lama terjalin,” kata Tan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
“Kumpulan kerja itu mengesahkan komitmen kami untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran sama dalam bidang kepentingan bersama seperti penangkapan dan penyimpanan karbon dan kredit karbon. Kerjasama antarabangsa adalah penting untuk menggalakkan tindakan menangani iklim serantau dan global bagi mencapai matlamat dalam Perjanjian Paris,” katanya.
Sementara itu Abang Johari berkata, perkongsian itu akan menjadi contoh bagaimana kerjasama antarabangsa boleh mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih, hijau dan masa depan yang lebih mampan.
“Perkongsian ini bertujuan menyokong ekonomi sambil berjuang menangani isu global dalam perubahan iklim.
“Kita perlu memikirkan semula pendekatan terhadap pembangunan dalam konteks bumi yang semakin panas dan semakin saling berhubung kait. Kerjasama antarabangsa ini adalah satu langkah penting ke hadapan dan saya mengharapkan kerjasama yang berjaya,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, kementerian itu berkata, Singapura dan Sarawak berkongsi hubungan baik yang telah lama terjalin dan “perdagangan serta pelaburan di antara kedua-duanya selama ini telah berkembang seperti dalam bidang pertanian”.
“Perubahan iklim dan kemampanan adalah bidang kerjasama baharu dan kumpulan kerja mengenai penangkapan dan penyimpanan karbon serta kredit karbon adalah hasil daripada hubungan baik tersebut,” kata kementerian itu. – TVS