KUCHING, 24 Okt : Teknologi digital yang sudah matang diyakini mampu untuk mendigitalkan proses pengundian, kata Prof Dr Patrick Then.
Namun demikian, beliau yang juga Pengarah di Centre for Digital Futures dan Ketua ICT Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak berkata, pelbagai rangka kerja perlu disediakan untuk menjayakan hasrat berkenaan.
“Berdasarkan aspek teknologi termasuk kajian yang dilakukan, kita mempunyai modal insan boleh dibangunkan untuk memastikan pengundian elektronik terkawal dan selamat,”katanya ketika muncul dalam program bual bicara Malaysia Decides terbitan TVS hari ini.
Mengulas lanjur, Patrick berkata, aspek undang – undang juga perlu diperhalusi.
“Ini termasuklah mempertimbangkan aspek teknologi serta dasar untuk mencapai kejayaan (perlaksanaan pengundian dalam talian),”ujarnya.
Pada masa sama, Patrick Then berpendapat digitalisasi juga mampu mentransformasikan sektor kesihatan.
“Apabila bercakap soal kesihatan, kita semua akan memikirkan hospital dan klinik.
“Menerusi pendigitalan, kita boleh mengurangkan halangan yang dihadapi oleh hospital dan klinik.
“Ini bermaksud kita masih lagi dapat menerima penjagaan kesihatan tanpa perlu ke hospital dan klinik,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berharap agar lebih ramai golongan muda berminat menceburi bidang kecerdasan buatan (AI) untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030. – TVS