KUCHING, 24 Okt : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan muatan antara kapal tanpa kebenaran.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, kedua-dua vesel itu ditahan pada jarak lebih kurang 3.7 batu nautika dari Tanjung Batu, Bintulu pada pukul 10.30 pagi semalam.
Katanya, penahanan dibuat ketika aset Zon Maritim Bintulu melakukan rondaan rutin dan mengesan sebuah bot tunda dan tongkang sedang memindahkan muatan ke sebuah kapal lain.
“Hasil penahanan, kedua-dua vesel itu dikendalikan oleh enam kru termasuk master.
“Dua kru termasuk master rakyat tempatan dan seorang kru warganegara Indonesia ditahan di atas bot tunda manakala sorang kru tempatan dan dua dari Indonesia ditahan di atas tongkang,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, terdapat muatan kayu balak dijumpai di atas tongkang semasa diperiksa dan dokumen berkaitan muatan dikemukakan oleh master.
“Kedua-dua vesel ditahan kerana telah melakukan aktiviti pemindahan muatan antara kapal tanpa kebenaran daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. -TVS