DARO, 23 Okt : Daerah ini berpotensi dijadikan sebagai kawasan ladang tanaman alga yang baharu untuk pengeluaran bahan api bio, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Premier Sarawak itu, ketika ini Kerajaan Sarawak melaksanakan projek rintis itu di Gedong Dan Bintulu.
“Sekiranya projek di kedua – dua kawasan itu berjaya, maka Daro akan menjadi kawasan seterusnya yang sesuai untuk penanaman,” kata Abang Johari dalam sidang media selepas Perasmian Kompleks Sukan Daro, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, ini kerana Daro mempunyai cuaca yang sesuai serta bekalan air masin yang mencukupi untuk penanaman alga.
Sementara itu beliau turut berkata, pembangunan Daro kini boleh dilihat dengan ketara serta selari dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk membangunkan kawasan luar bandar.
“Dalam tempoh empat tahun ini, saya telah melihat Daro berubah wajah,”ujarnya.
Pada majlis yang berasingan pada sebelah pagi, Abang Johari memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah meluluskan projek pembinaan Waterfront Daro serta pembinaan sebuah pasar tani baharu dalam usaha merancakkan lagi ekonomi di sini. – TVS