MUKAH, 23 Okt : Pemilihan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan hak prerogratif Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku pengerusi.
Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, proses pemilihan juga melibatkan beberapa peringkat sebelum ‘senarai akhir’ diserahkan kepada Abang Johari.
“Beliau selaku Pengerusi kemudian akan memberi kata putus mengenai senarai yang dihantar,”katanya.
Fatimah berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan penyandang kerusi di bawah GPS sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya pada PRU-15 Ini.
Sehubungan itu Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak meminta supaya penyokong GPS menunggu senarai calon yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Mereka yang telah terpilih (sebagai calon) akan menerima watikah perlantikan masing-masing,”katanya. -TVS