SARIKEI, 22 Okt : Penyandang kerusi Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab bersedia sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahukan beliau bertanding sekali lagi di situ pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) ini.
Namun demikian, Yusuf berkata, keputusan akhir mengenai calon yang akan membawa panji GPS di situ terserah kepada pucuk pimpinan parti.
“Saya bersedia untuk memberi khidmat terbaik andai kata tercalon sekali lagi di Tanjong Manis,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang, di sini hari ini.
Ditanya sekiranya namanya ‘gugur’ kali ini, Yusuf berkata, beliau juga akan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.
“Apa sekalipun, saya tetap akan memberikan sokongan padu kepada sesiapa sahaja calon yang ditampilkan oleh GPS,”katanya.
Pada PRU-14, Yusuf menang kerusi itu setelah menewaskan calon Amanah, Mohamad Fadillah Sabali. -TVS