KUCHING, 22 Okt : Penubuhan bank khusus untuk industri pelancongan merupakan cadangan yang relevan, kata Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis.
Beliau berkata langkah berkenaan sebelum ini pernah dilakukan menerusi penubuhan Bank Pertanian yang kini dikenali sebagai AgroBank untuk membantu industri berkenaan dalam aspek kewangan.
“Bank pelancongan ini adalah untuk memastikan sektor pelancongan dapat memantapkan ekonomi negara.
“Sekiranya dilaksanakan, ianya bukan sahaja membantu penggiat industri tetapi pelbagai pihak akan menerima manfaat,”katanya menerusi program temu bual terbitan TVS, Malaysia Decides di sini hari ini.
Menurut Uzaidi, pelbagai cabaran dihadapi pemain industri pelancongan ketika ini berikutan keadaan semasa.
“Ini termasuk bank – bank sedia ada dilihat sukar untuk meluluskan permohonan pinjaman pemain industri pelancongan kerana beranggapan risiko kerugian dalam sektor tersebut terlalu tinggi,”katanya.
Beliau berkata, syor berkenaan dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan memiliki desakan politik yang tinggi untuk membantu industri pelancongan negara. -TVS