KUCHING, 22 Okt: Program realiti Getaran Jiwa terbitan TVS dilihat sebagai pentas terbaik untuk mencungkil bakat dalam bidang nyanyian terutama dalam kalangan orang Sarawak.
Juri jemputan untuk episod pertama, Fauziah Latiff berkata program sebegini adalah platform terbaik yang patut diteruskan untuk menarik minat orang luar selain menghargai bidang seni.
“Program seperti ini wajar diteruskan sebab banyak di luar sana yang memang meminati dan menghargai bidang seni. Getaran Jiwa berinspirasikan muzik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah sesuatu perkara yang besar.
“Orang Sarawak semua banyak berbakat. Nyanyian semua bagus,” katanya ketika ditemuai pada sesi persiapan akhir Getaran Jiwa di sini, pada Jumaat.
Senada dengan Fauziah, Dato Nash yang merupakan juri tetap Getaran Jiwa yakin program ini akan dapat menghimpunkan peminat lagu Allahyarhum Tan Sri P.Ramlee dari seluruh negeri ini.
“Saya yakin anak-anak seni di luar sana pun memang ramai, memuja dan memuji lagu-lagu orang lama khususnya daripada ciptaan lagu Allahyarhum Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhum Puan Sri Saloma.
“Inilah yang sepatutnya kita ketengahkan dan saya yakin apabila program ini diketengahkan seumpama ini, ia akan mendapat sambutan yang saya yakin memang hebat,” katanya.
Sementara itu, Norafizah Busmam menyatakan program ini peluang yang baik untuk penyanyi tempatan melangkah jauh dalam industri muzik.
“Sangat bagus kerana ini memberi ruang dan peluang sebagai satu platform untuk penyanyi tempatan,” katanya.
Program getaran jiwa episod pertama berlangsung pada malam Jumaat di Stadium MBKS. Ia menampilkan tujuh peserta iaitu Ain Ahmad, Ain, Samdean, Amy Halim, Jaja, Nizam Jamil dan Izwan Dahlan.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Dato Norhyati Ismail, Pengarah Eksekutif SMG Sarbini Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif SMG Rizal Zulkapli. – TVS