KUCHING, 22 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyampaikan ucapan mengenai tenaga hijau di Singapura pada minggu hadapan.
Menurutnya, beliau dijemput oleh Kerajaan Singapura ke Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura Ke-15 (SIEW) di Marina Bay Sands, Singapura pada 25 hingga 28 Oktober ini.
“Insya-Allah minggu depan saya akan ke Singapura sebagai tetamu Kerajaan Singapura untuk bercakap mengenai tenaga hijau dalam minggu SIEW yang membabitkan penyertaan dari seluruh dunia,” katanya pada Majlis Penutupan Bulan Inovasi dan Majlis Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) di sini pada Jumaat malam.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Menurutnya lagi, peluang bercakap mengenai sumber tenaga hijau di pentas antarabangsa merupakan satu kebanggaan untuk Sarawak kerana ia satu pengiktirafan terhadap usaha meneroka sumber yang lebih mesra alam.
“Saya ingin menambah nilai terhadap kekuatan sumber tenaga yang kita ada. Ini adalah apa yang kita lakukan dan saya berharap Sarawak akan mencapai apa yang kita sasarkan pada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030),“ katanya lagi.
Menurutnya, kekuatan Sarawak adalah menerusi sumber tenaga boleh diperbaharui yang mendorong Kerajaan Sarawak meminda Kanun Tanah Negeri untuk memastikan struktur geologi menganggap ekonomi baharu.
“Sepertimana yang anda ketahui, ekonomi baharu itu ialah idea untuk mengurangkan pelepasan karbon dan juga melibatkan ekonomi hijau yang mana Sarawak mempunyai kekuatan itu,” ujarnya.
Sarawak mempunyai sumber air yang banyak untuk menghasilkan hidrogen, tenaga solar menerusi panel diapungkan di atas air dan alga untuk menghasilkan biofuel.
“Dengan kata lain, semua spektrum tenaga Sarawak mempunyai sumber cuma sekarang ini bagaimana untuk menginovasikannya dan membawa perubahan kepada ekonomi kita, “ katanya.
Katanya lagi, beberapa lawatan kerjanya ke luar negara sebelum ini iaitu di Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda dan Forum Hidrogen di Tokyo, Jepun menunjukkan maklum balas positif dari negara luar yang kini mengenali dan mengiktiraf usaha Sarawak dalam pengeluaran tenaga bersih.
“Minggu lepas saya berada di Tokyo sebagai tetamu kerajaan Tokyo bersama-sama penceramah antarabangsa termasuk Ketua Pengarah Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan beliau mengiktiraf apa yang Sarawak lakukan dari segi tenaga bersih untuk dunia, “ katanya. -TVS