SIBU, 21 Okt : Kesediaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang untuk menggalas tugas berat bertanding di kerusi Parlimen Selangau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) harus diterima secara positif oleh kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut pengasas dan penasihat Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang, GPS memerlukan naratif politik baharu yang dinamik dengan menampilkan calon muda berwibawa, berkaliber dan berkarisma.
Melihat kepada sikap rendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat, beliau percaya Gira mempunyai kewibawaan yang tidak dapat disangkal untuk memenangi kerusi Selangau.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 Disember tahun lepas, Gira menewaskan Datuk Joseph Entulu Belaun dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dilihat sebagai seorang calon heavyweight.
“Justeru, kita percaya GPS memiliki peluang cerah untuk merampas kembali kerusi parlimen itu. Kita percaya pucuk pimpinan GPS yang diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membuat keputusan bijak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Gira yang juga ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) semalam dilaporkan bersedia bertanding untuk kerusi Parlimen Selangau jika dicalonkan pada PRU15 ini.
Beliau berkata tugas itu amat berat namun bersedia menyahut cabaran sekiranya diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.
Penyandang kerusi Parlimen Selangau Baru Bian yang menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14, mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu sebaliknya berpindah ke Parlimen Lawas. Baru kini adalah ahli PSB.
Desas desus menyatakan PSB mungkin meletakkan Entulu untuk merebut kerusi tersebut. – TVS