KUALA SELANGOR, 20 Okt: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tempoh 14 hari berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah mencukupi.
Naib Presiden UMNO itu berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap parti politik untuk membuat perancangan bagi memastikan tempoh yang diberikan SPR itu mencukupi untuk mereka berkempen bagi menghadapi pilihan raya.
“14 hari cukup. Dulu pun 14 hari, ada masa kurang dari 14 hari jadi parti-parti politik kena buat perancangan masing-masing untuk pastikan cukup masa 14 hari tersebut. Kalau terlampau lama orang mengadu juga terlalu lama, penat kerja dan macam-macam.
“Jadi SPR dah tentukan, jadi kita akur dengan SPR dan bekerja berdasarkan jumlah hari yang disediakan untuk berkempen,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor di Puncak Alam di sini hari ini.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani hari ini mengumumkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.
Berikutan itu, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 5 Nov sehingga pukul 11.59 malam, 18 Nov. -TVS