Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Dr Sim Kui Hian ditemubual media selepas merasmikan Seminar Hari Kaunseling Sedunia 2022 di Kuching, hari ini. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

PRU-15: SUPP serah nama calon kepada Pengerusi GPS

KUCHING, 19 Okt: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah menyerahkan senarai nama calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata Abang Johari yang juga Premier Sarawak memaklumkan semalam bahawa GPS sudah hampir memuktamadkan senarai calon PRU-15.

“Kini terpulanglah kepada Premier (Abang Johari) untuk membuat keputusan siapa yang layak serta dipilih untuk bertanding,” kata Timbalan Premier Sarawak itu kepada media selepas merasmikan Seminar Hari Kaunseling Sedunia 2022 di sini hari ini.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan SUPP.

Berdasarkan persefahaman dalam GPS sebelum ini, SUPP dijangka mewakili gabungan itu untuk bertanding di tujuh kawasan Parlimen di Sarawak iaitu Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri.

Dalam  Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), SUPP bertanding di tujuh kerusi tersebut namun hanya memenangi kerusi Parlimen Serian menerusi calonnya Datuk Richard Riot Jaem, yang juga timbalan presiden parti itu.

Dr Sim berkata SUPP tidak mahu apa yang berlaku selepas PRU-14 menyaksikan senario politik nasional menjadi tidak stabil dengan tiga perdana menteri dilantik dalam tempoh kurang dari lima tahun berulang selepas PRU-15.

“PRU-15 akan menjadi pilihan raya luar biasa kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan stabil bagi mengakhiri kekalutan politik yang berlaku,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan