Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Julaihi Narawi ketika menerima kunjungan hormat Ma Noravin di Kuching, hari ini. Foto TVS.

Sarawak laksana projek bekalan air jangka panjang 2030-2070

KUCHING. 19 Okt: Kerajaan Sarawak meneruskan projek sistem grid bekalan air dalam pelan jangka panjang pembangunan negeri ini bagi tempoh 2030 hingga 2070, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Projek itu jelasnya merangkumi sistem bekalan air mentah, terawat dan bersih di seluruh Sarawak.

“Sasaran kita untuk membekal semuanya sehingga 2070, itu pelan jangka panjang kita. Selain itu kita juga mempunyai pelan tertentu pada 2030, 2040 sehingga 2070.

”Ini merupakan perancangan jangka panjang yang kita sudah tetapkan, apa yang penting sudah bermula dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Pengarah Lembaga Bekalan Air Phnom Penh, Ma Noravin di sini, hari ini.

Mengakui pelaksanaan projek itu akan mengambil masa lama, katanya Sarawak memerlukan peruntukan lebih besar bagi menampung perbelanjaan.

Setakat ini, kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM4 bilion bagi melaksanakan projek bekalan air di seluruh negeri.

“RM4 bilion merupakan peruntukan daripada kerajaan Sarawak, kini ia sudah hampir habis digunakan untuk pelaksanaan projek air di seluruh negeri.

“Maknanya untuk jangka panjang kita memerlukan peruntukan lebih banyak untuk melengkapkan pelaksanaan projek terutamanya sistem grid bekalan air,” katanya.

Julaihi berkata pihaknya telah mengemukakan kos yang diperlukan untuk melaksanakan projek tersebut.

Malah beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mengambil tanggungjawab bersama membantu dari segi menyalurkan dana kepada Sarawak dalam memastikan kelangsungan projek.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perkembangan terkini projek sistem grid bekalan air yang sedang dilaksanakan.

Setakat ini projek tertumpu di selatan Sarawak melibatkan bahagian Samarahan bagi menyambung bekalan air ke seluruh negeri melalui sistem grid berkenaan sebelum diperluaskan ke kawasan tengah dan utara Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan