KUCHING, 18 Okt: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk menggabungkan empat pihak berkuasa bekalan air utama di negeri ini di bawah satu entiti yang akan dikenali sebagai Lembaga Air Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian yang mungkin mengambil masa dua tahun itu melibatkan penggabungan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd (LAKU).
“Ya, ia adalah badan berkanun, jadi ia hendaklah di bawah Ordinan Air Sarawak. Dari perspektif undang-undang, kami sedang menelitinya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Air dan Air Antarabangsa Borneo (BIWWWEC) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.
Bagaimanapun, ordinan itu belum dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada tahun ini memandangkan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi dan pakar-pakar berkaitan masih melakukan kajian.
Abang Johari berkata ia merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak untuk menambah baik sistem bekalan air ke seluruh Sarawak.
“Jadi saya berharap untuk jangka masa yang panjang ia (bekalan air) akan menjadi lebih murah kerana kita menggunakan teknologi,” katanya.
Berucap pada majlis itu, beliau berkata air sebagai sumber yang terbatas dan tidak boleh diganti untuk keperluan asas dalam kehidupan harian justeru ia perlu diuruskan dengan baik.
“Dalam konteks pertumbuhan demografi, peningkatan persaingan untuk mendapatkan air dan perhatian lebih terhadap isu alam sekitar, air untuk makanan kekal sebagai isu teras yang tidak lagi dapat ditangani melalui pendekatan sektor yang sempit.
“Air menghubungkan alam sekitar dengan mata pencarian kita, menambah baik akses kepada bekalan air bersih terutama di kawasan terdedah kepada kekurangan air, mengurangkan kemiskinan, meningkatkan kesihatan dan prasyarat kepada peningkatan kualiti hidup,” katanya.
BIWWEC 2022 bertemakan ‘Kemampanan dan Daya Ketahanan menerusi Teknologi dan Inovasi Pintar’ memfokus kepada penyelesaian aktif dan bersinergi untuk mengatasi cabaran keperluan air dan air sisa di Borneo. – TVS