KUCHING, 17 Okt : Kepimpinan kerajaan negeri yang stabil akan memacu Sarawak ke arah negeri futuristik yang memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar, kata Dr Hazland Abang Hipni.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri berkata, Sarawak ‘beruntung’ kerana dikurniakan kekayaan alam semula jadi termasuk sungai, kawasan hutan, taburan hujan serta sumber cahaya matahari yang mencukupi.
Sehubungan itu katanya usaha pembangunan mapan perlu diteruskan di samping memelihara sumber alamnya.
“Ianya adalah sangat baik kerana apa yang saya katakan, mencegah lebih baik daripada mengubati. Kita kena cegah awal.
“Kita berada di luar lingkaran api dan dengan kerajaan yang sangat stabil serta kepimpinan yang berwawasan futuristik. Saya rasa inilah pakej yang kita perlukan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis penyampaian Sijil SIRIM Label Eko kepada WEIDA Malaysia Berhad di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah SIRIM Sarawak, Kasvenda Kassim dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan WEIDA, Dato Lee Choon Chin.
Sijil berkenaan diserahkan SIRIM Malaysia kepada syarikat itu yang telah melaksanakan operasi berpandukan komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Sementara itu, Kasvenda berkata, bagi mengiktiraf komitmen WEIDA terhadap persekitaran yang lebih hijau, SIRIM juga telah memperakui paip berprofil polietilena ketumpatan tinggi (HDPE) dengan label eko SIRIM.
Choon Chin pula berkata, pengiktirafan ini membuktikan bahawa WEIDA telah berjaya menggunakan metodologi mesra alam dalam pembuatannya. -TVS